Hari ini jika memerhatikan dengan lebih
teliti, maka kita akan perasan betapa kematangan telah semakin memudar dari
kalangan remaja dan pemuda kita. Perkara yang sama juga berlaku kepada remaji
dan barisan pemudi.
Kebanyakannya, masa muda dihabiskan dengan
kerseronokan dan hiburan semata-mata. Bermain-main dan bersenang lenang bersama
teman sahaja. Masa dan waktu dibazirkan begitu sahaja. Tenaga dan kudrat tidak
disalurkan pada tempat yang sepatutnya.
Kematangan yang telah pudar, membuatkan
kurang yang merasakan tanggungjawab untuk mewarisi kepimpinan hari ini bagi
melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
Hakikatnya, perkara ini menggusarkan.
Siapakah yang terfikir, betapa pemuda
pemudi hari inilah yang mencorakkan masyarakat masa hadapan? Maka kegusaran
yang ada pada diri saya ini sepatutnya wujud di dalam diri mereka.
Terperangkap di dalam zon yang selesa
Penyebab utama mengapa kematangan
terbantut adalah kerana pemuda pemudi kita hari ini telah diperangkap di dalam
satu zon yang selesa. Ini membuatkan akal mereka tidak mampu berfikir di luar
kotak kehidupan mereka.
Pemuda-pemudi hari ini hidup di era
keamanan dan kedamaian. Mereka dipimpin dan telah meletakkan diri mereka untuk
menjadi pengikut sepanjang masa. Mereka tidak pernah hendak memecahkan kerangka
‘pengikut’ itu untuk menjadi seorang ‘pemimpin’.
Tempat belajar disediakan, kerjaya
disediakan, makan minum disediakan, duit disediakan, dan keamanan serta
kedamaian bersama kemakmuran juga tersedia di hadapan mata. Tidak menjadi
masalah untuk mereka dan tidak perlu bagi mereka bersusah payah berfikir itu
ini untuk mendapatkan semua.
Akhirnya, keselesaan ini yang mengabui
mereka untuk berfikir panjang, dan menyedari bahawa satu hari nanti, akan tiba
waktunya untuk mereka pula mengganti kepimpinan hari ini, dan menyediakan semua
itu kepada anak-anak zaman hadapan pula.
Persoalannya, apakah dengan ketidak
sedaran hari ini, kita mampu memberikan yang terbaik kepada anak-anak masa
hadapan? Bilakah masa kita untuk bersedia memberikan yang terbaik sekiranya
kita baru sedar ketika mendapat tanggungjawab nanti?
Kematangan hadir dengan memecahkan tembok
masa hadapan
Hari ini, mungkin kita tiada tanggungjawab
sebagai bapa atau ibu untuk mencari duit menyara anak-anak dan menjaga makan
pakai mereka.
Hari ini, mungkin kita bukan pemimpin
negara yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara, mentadbir dan menguruskan
negara bagi menyediakan suasana yang terbaik kepada masyarakat dan kehidupan
termakmur buat mereka.
Dan banyak lagi contoh tanggungjawab.
Paling kurang, kita perlu memimpin diri sendiri di dalam arus perdana hari ini.
Memimpin keluarga agar menjadi keluarga yang baik di dalam arus globalisasi
hari ini.
Ketiadaan tanggungjawab-tanggungjawab itu
pada kita hari ini, menyebabkan kita alpa dan leka, lalai dan rasa hendak
bermain sahaja. Maka akal kita tidak berkembang untuk mencari pengalaman,
menambah pengetahuan, bagi mempersiapkan diri agar berada dalam kondisi yang
terbaik ketika kita benar-benar memegang tanggungjawab nanti.
Maka terjadilah penurunan kualiti saat
kita benar-benar perlu melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab tadi. Kerana
apa berlakuknya penurunan kualiti ini? Kerana kita hakikatnya tidak bersedia
sedari awal.
Saat memegang tanggungjawab, baru hendak
bersedia. Selama ini, kita asyik memandangnya sebagai ‘perkara maasa hadapan’.
Sekiranya kita sedari awal memecahkan
tembok masa hadapan ini, kematangan itu akan hadir di dalam diri. Kita akan
berfikir sebagaimana orang dewasa berfikir. Kita akan rasa ralat dengan
waktu-waktu yang terbazir, dan kita akan serius menambah pengetahuan serta
menajamkan pemikiran bagi mempersiapkan diri di dalam kondisi terbaik untuk
memegang tanggungjawab yang akan kita pegang nanti.
Mereka itu matang
Di sinilah kita lihat perbezaan antara
kita dengan kanak-kanak di zaman Rasulullah SAW dan zaman terdahulu sebelum
kita.
Sebagai contoh, Abdullah ibn Umar RA
adalah seorang kanak-kanak di zaman Rasulullah SAW. Tetapi direkodkan bahawa
dia telah mengikuti majlis-majlis bersama dengan para sahabat besar sedangkan
usianya ketika itu masih kecil.
Hal ini direkodkan apabila Abdullah ibn
Umar RA sendiri meriwayatkan bahawa: “Pada suatu hari, aku mengikuti
sebuah majlis Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW bertanyakan akan sebuah pokok
yang mempunyai persamaan dengan orang yang beriman. Aku tahu akan jawapannya,
tetapi aku jadi malu untuk menjawab kerana menghormati orang-orang yang lebih
tua yang berada di dalam majlis itu. Akhirnya Rasulullah SAW sendiri menjawab
soalan baginda tadi. Ketika dalam perjalanan pulang, aku menceritakan kepada
bapaku(Umar Al-Khattab) bahawa aku mengetahui akan jawapannya semasa Rasulullah
menyoal tadi. Bapaku berkata: Aku akan menjadi sangat gembira, sekiranya kau
menjawab tadi” Riwayat Bukhari di dalam Kitab Adab Wa Ar-Riqaq.
Contoh yang lain, adalah Usamah bin Zaid
RA. Direkodkan bahawa ketika dia berumur 18 tahun, dia telah diangkat untuk
menjadi seorang jeneral yang menggepalai tentera menentang Romawi. Lebih
mengkagumkan, pada usianya 19 tahun, dia berjaya menewaskan Romawi dengan
kejayaan.
Contoh yang lain lagi, adalah Muhammad
Al-Fateh. Direkodkan bahawa ketika dia berumur 23 tahun, dia berjaya
menumbangkan Konstantinopel. Direkodkan juga, dia pernah diangkat menjadi
Sultan ketika berumur belasan tahun, apabila ayahnya, Sultan Murad mengambil
keputusan meninggalkan kerajaan bagi menjadi ahli sufi. Hal ini menyebabkan
berlakunya kekacauan politik angkara orang-orang tua di dalam kerajaannya. Pada
umur yang semua itu, dia berjaya memanggil ayahnya semula bagi memimpin
kerajaan dengan kata-katanya yang bersulam kematangan yang amat masyhur di
dalam sejarah:
“Wahai Ayahanda, sekiranya ayahanda masih
merasakan bahawa ayahanda adalah Sultan bagi kerajaan ini, maka pulanglah.
Sekiranya Ayahanda benar-benar telah menyerahkannya kepadaku untuk
menguruskannya, maka dengan ini aku arahkan Ayahanda untuk pulang dan memimpin
kerajaan ini!”
Dan di manakah kematangan kita hari ini
jika hendak dibandingkan dengan mereka?
Di manakah hakikatnya perbezaan antara
kita dan mereka?
Sepatutnya kita perhatikan dan
memikirkannya.
Penutup: Melepaskan diri dari kebantutan
kematangan
Matang adalah indikator terpenting dalam
memandu kehidupan kita ke arah kehidupan yang terbaik. Tanpa wujudnya
kematangan di dalam diri, maka kita hanya akan menghalakan kehidupan kita
semata-mata ke arah keseronokan. Matang adalah pemandu sebenar yang terbaik
dalam kita membuat keputusan.
Kematanganlah yang menghalang kita dari
nmelakukan perkara yang sia-sia dan merosakkan. Kematanganlah yang menjadikan
kita mampu memacu kehidupan diri ke arah terbaik dan memandu pula masyarakat
sekeliling ke arah kebaikan.
Yang tidak matang hanyalah akan menjadi
pelawak di dalam kehidupan insan, yang membawa dirinya ke arah kehancuran. Yang
tidak matang hanya akan menjadi hamba dan bahan permainan. Kita akan tertipu,
tertipu dan tertipu sepanjang hayat.
Maka sewajibnya kita menuntut kematangan
ini agar wujud di dalam diri.
Bukan sekadar membiarkannya dan tidak kita
perolehi.
Sedangkan perkara ini adalah teramat
penting sekiranya kita adalah orang yang memerhati.
No comments:
Post a Comment