Friday 28 October 2011

Tenangnya Hati.


5 Perkara Sebelum 5 Perkara.


Kalaulah aku...


Manusia boleh berubah.


Perubahan itu akan berlaku. Tinggal kita hendak membiarkan diri kita berubah ke arah mana?

Satu perkara yang saya belajar dalam pengalaman 20 tahun kehidupan saya, adalah manusia itu boleh berubah.
Memang. Anda akan kata pada saya: “Memanglah. Manusia memang boleh berubah”
Ya. Kita memang tahu. Ini memang pengetahuan am. Tetapi siapakah yang merasai betapa besarnya satu-satu ‘perubahan’ itu?
Di dalam hidup ini, ada satu garisan yang membahagikan kita kepada dua kumpulan.
Baik dan buruk.
Kita jangan sesekali lupa, bahawa seseorang manusia itu boleh berubah dari buruk kepada baik.
Dan kita juga jangan sesekali lupa, bahawa seseorang manusia itu boleh berubah sebaliknya.
Dari baik kepada buruk.

Manusia boleh berubah 1: Buruk kepada baik
Kita selalu lupa kenyataan ini. Lupa dalam amal dan perbuatan, lupa dalam minda dan akal fikiran, lupa dalam hati dan jiwa.
Mungkin satu waktu dahulu kita kenal Si A. Dia ada banyak perkara negatif di dalam dirinya. Kita tidak suka Si A pada suatu masa dahulu. Tetapi lama waktu berlalu, kita berjumpa semula dengan Si A. Si A berbeza daripada dahulu. Dia sudah berubah. Walaupun mungkin bukan 100%, tetapi dia menunjukkan perubahan.
Tetapi kita sukar menerimanya.
“eleh, berlakon je kut”
“Ah, dulu punya luka masih besar lagi!”
“Ini silap haribulan sekejap je ni”
Ayat-ayat begitulah yang keluar dari hati.
Akhirnya virus ini merebak ke dalam kehidupan. Kita tidak menghayati perubahan Si A. Kita tidak merasai betapa sukarnya dia hendak melakukan perubahan. Kita tidak tahu mungkin betapa menyesalnya Si A dengan kehidupannya yang lalu. Kita tidak tahu mungkin betapa dia bermati-matian untuk membawa dirinya ke arah apa yang dia sedang pijak hari ini.
Lebih buruk lagi, oleh kerana tidak puas hatinya kita kepada Si A, dan rasa macam tak puas hati dengan perubahan yang telah kita lihat dengan mata kepala kita sendiri, lebih-lebih lagi apabila Si A muncul menonjol luar dari apa yang kita mungkin boleh jangkai, kita mula mencari mana lagi salah-salah Si A yang boleh dieksploitasi.
Di sinilah akhirnya yang sekecil kuman pun dibesarkan sebesar gajah. Dosa-dosa lama diungkit seakan baru. Salah faham yang mungkin berlaku dalam komunikasi, kehidupan Si A, dibesar-besarkan seakan ia adalah satu perkara yang ‘betul faham’. Dan apa-apa sahaja cerita buruk yang di’dengari’ dari orang lain akan Si A, dijaja seluruh dunia seakan benar.
Ini adalah penyakit.
Penyakit kerana kita tidak menyedari, bahawa manusia itu boleh berubah.
Manusia boleh berubah 2: Baik kepada buruk
Kita juga kadangkala selalu melupakan perkara ini. Kita lupa bahawa Allah itu mampu menurunkan seseorang yang baik, menjadi seorang yang buruk. Mungkin dahulu solat, sekarang tidak. Mungkin dahulu ada hubungan dengan Allah, sekarang tidak. Banyak lagi.
Kelupaan kita terhadap perkara inilah, yang membuatkan kita senang memandang hina kepada mereka yang bergelumang di dalam dosa dan keburukan. Kelupaan kita akan perkara inilah, yang membuatkan kita mudah menyatakan orang lain masuk neraka, kafir dan sebagainya. Kita boikot orang-orang berdosa dan mengumpat cerca mereka.
Ya, mungkin hari ini kita ada nikmat iman dan nikmat Islam.
Tetapi kita punya kah?
Sepatutnya, kesyukuran kita ini mendapat nikmat iman dan Islam, perlu ditunjukkan dengan menyebarkannya dengan lebih jauh dan lebih ramai lagi. Bukannya menyedikitkannya dengan menyatakan orang-orang lain masuk neraka atau kafir atau tak ada harapan atau dah terjerumus.
Maka sepatutnya kita tidak merasakan bahawa diri ini sudah berada di dalam comfort zone. Rasa keimanan kita sudah cukup. Rasa Islam kita sudah bagus. Sepatutnya kita tidak melihat berapa banyak kebaikan yang kita lakukan, tetapi lihatlah berapa banyak dosa yang masih belum kita selesaikan. Sepatutnya kita tidak melihat berapa banyak dosa orang lain lakukan, tetapi lihatlah kebaikan-kebaikan yang dia ada sebagai motivasi untuk mengajaknya kepada kebenaran.
Kita sepatutnya melihat di sekeliling kita.
Mungkin ramai sahaja, orang-orang yang mendapat didikan agama, tetapi tidak mengaplikasikannya. Mungkin ramai sahaja, orang yang dahulunya ikut usrah, tapi kini perangai entah apa-apa. Mungkin ada pengalaman kita, orang yang dahulu bertudung, sekarang boleh dedah sampai ke paras dada dan pakai ketat-ketat.
Sepatutnya, kita bersyukur dengan kebaikan kita, dan berusaha untuk menambahnya dalam rangka menghargainya. Dan syukur kita, kita lepaskan dalam bentuk mengajak lebih ramai lagi orang lain untuk berada dalam lingkungan keredhaan Allah.
Bukannya kita tunjukkan dengan mencerca mereka yang diuji pula!
Manusia boleh berubah 3: Turun dan naik
Satu lagi kenyataan yang perlu diperhatikan. Bahawa manusia itu ada turun dan ada naiknya.
Mungkin kita ada sahabat, awal perkenalan kita kenal bagus. Kemudian tiba-tiba di tengah perkenalan kita, sahabat kita tiba-tiba melakukan sesuatu yang tidak enak di mata kita seperti bercouple dan sebagainya.
Apakah biasanya tindakan kita?
Ada kalangan kita yang merupakan ekstrimis, terus memboikot mereka ini, menyatakan bahawa mereka ini tiada harapan, dan kita cerca mereka dengan berbagai cercaan.
Apabila sahabat kita ini melakukan perubahan, kita tidak menerima mereka. Kononnya kepercayaan telah dikhianati dan sebagainya. Kita tidak mengerti betapa susahnya dia diuji sedemikian. Kadangkala, manusia yang terjerumus ini, bukan dengan kehendaknya. Dia terperangkap. Mungkin terperangkap atas unsur orang lain, dan ada juga yang terperangkap kerana sebelumnya dia ingat boleh.
Janganlah kata dia budak agama, takkan dia tak tahu. Janganlah kata dia anak murid orang hebat, takkanlah dia tak tahu. Habis, Ka’ab bin Malik itu sahabat Rasulullah, takkan dia tak tahu tak pergi perang tu salah? Abu Dzar Al-Ghifari itu sahabat Rasulullah, takkan dia tak tahu memanggil Bilal bin Rabah sebagai ‘anak hitam’ itu salah?
Di sinilah kita perlu memahami. Bahawa manusia itu ada turun dan naiknya. Mereka ini diuji. Mungkin kita belum diuji.
Jadi peranan kita, adalah memberikan sokongan dan dorongan agar mereka mampu melepasi ujian itu. Agar nanti, saat waktu kita pula diuji, moga-moga Allah mempermudahkan urusan kita pula.
Penutup: Berdoalah supaya kita serta orang lain berubah ke arah kebaikan, dan sentiasa muhasabah
Moga-moga, perubahan-perubahan yang Allah berikan kepada kita dalam kehidupan ini hanyalah kehidupan ke arah kebaikan semata-mata. Moga-moga, Allah mengubah kita dan mengubah manusia di sekeliling kita ke arah kebaikan.
Kita juga kena berusaha agar doa itu menjadi realiti.
Sentiasalah muhasabah dan buatlah banyak checkpoint di dalam kehidupan kita.
Sentiasalah merendah diri, dan merasa kasih sayang kepada orang lain.
Dengan memahami fitrah perubahan inilah, kita akan menghasilkan rasa hendak mengambil berat akan diri dan orang lain. Dengan memahami perkara inilah, kita akan lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga diri. Dengan memahami perkara inilah, kita akan bergantung lebih kepada Allah SWT.
“(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” Surah Ali-Imran ayat 8.

Pembantut kematangan.



Bilakah kamu hendak melihat dunia dan akhiratmu dengan serius wahai pemuda pemudi?

Hari ini jika memerhatikan dengan lebih teliti, maka kita akan perasan betapa kematangan telah semakin memudar dari kalangan remaja dan pemuda kita. Perkara yang sama juga berlaku kepada remaji dan barisan pemudi.
Kebanyakannya, masa muda dihabiskan dengan kerseronokan dan hiburan semata-mata. Bermain-main dan bersenang lenang bersama teman sahaja. Masa dan waktu dibazirkan begitu sahaja. Tenaga dan kudrat tidak disalurkan pada tempat yang sepatutnya.
Kematangan yang telah pudar, membuatkan kurang yang merasakan tanggungjawab untuk mewarisi kepimpinan hari ini bagi melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
Hakikatnya, perkara ini menggusarkan.
Siapakah yang terfikir, betapa pemuda pemudi hari inilah yang mencorakkan masyarakat masa hadapan? Maka kegusaran yang ada pada diri saya ini sepatutnya wujud di dalam diri mereka.

Terperangkap di dalam zon yang selesa
Penyebab utama mengapa kematangan terbantut adalah kerana pemuda pemudi kita hari ini telah diperangkap di dalam satu zon yang selesa. Ini membuatkan akal mereka tidak mampu berfikir di luar kotak kehidupan mereka.
Pemuda-pemudi hari ini hidup di era keamanan dan kedamaian. Mereka dipimpin dan telah meletakkan diri mereka untuk menjadi pengikut sepanjang masa. Mereka tidak pernah hendak memecahkan kerangka ‘pengikut’ itu untuk menjadi seorang ‘pemimpin’.
Tempat belajar disediakan, kerjaya disediakan, makan minum disediakan, duit disediakan, dan keamanan serta kedamaian bersama kemakmuran juga tersedia di hadapan mata. Tidak menjadi masalah untuk mereka dan tidak perlu bagi mereka bersusah payah berfikir itu ini untuk mendapatkan semua.
Akhirnya, keselesaan ini yang mengabui mereka untuk berfikir panjang, dan menyedari bahawa satu hari nanti, akan tiba waktunya untuk mereka pula mengganti kepimpinan hari ini, dan menyediakan semua itu kepada anak-anak zaman hadapan pula.
Persoalannya, apakah dengan ketidak sedaran hari ini, kita mampu memberikan yang terbaik kepada anak-anak masa hadapan? Bilakah masa kita untuk bersedia memberikan yang terbaik sekiranya kita baru sedar ketika mendapat tanggungjawab nanti?
Kematangan hadir dengan memecahkan tembok masa hadapan
Hari ini, mungkin kita tiada tanggungjawab sebagai bapa atau ibu untuk mencari duit menyara anak-anak dan menjaga makan pakai mereka.
Hari ini, mungkin kita bukan pemimpin negara yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara, mentadbir dan menguruskan negara bagi menyediakan suasana yang terbaik kepada masyarakat dan kehidupan termakmur buat mereka.
Dan banyak lagi contoh tanggungjawab. Paling kurang, kita perlu memimpin diri sendiri di dalam arus perdana hari ini. Memimpin keluarga agar menjadi keluarga yang baik di dalam arus globalisasi hari ini.
Ketiadaan tanggungjawab-tanggungjawab itu pada kita hari ini, menyebabkan kita alpa dan leka, lalai dan rasa hendak bermain sahaja. Maka akal kita tidak berkembang untuk mencari pengalaman, menambah pengetahuan, bagi mempersiapkan diri agar berada dalam kondisi yang terbaik ketika kita benar-benar memegang tanggungjawab nanti.
Maka terjadilah penurunan kualiti saat kita benar-benar perlu melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab tadi. Kerana apa berlakuknya penurunan kualiti ini? Kerana kita hakikatnya tidak bersedia sedari awal.
Saat memegang tanggungjawab, baru hendak bersedia. Selama ini, kita asyik memandangnya sebagai ‘perkara maasa hadapan’.
Sekiranya kita sedari awal memecahkan tembok masa hadapan ini, kematangan itu akan hadir di dalam diri. Kita akan berfikir sebagaimana orang dewasa berfikir. Kita akan rasa ralat dengan waktu-waktu yang terbazir, dan kita akan serius menambah pengetahuan serta menajamkan pemikiran bagi mempersiapkan diri di dalam kondisi terbaik untuk memegang tanggungjawab yang akan kita pegang nanti.
Mereka itu matang
Di sinilah kita lihat perbezaan antara kita dengan kanak-kanak di zaman Rasulullah SAW dan zaman terdahulu sebelum kita.
Sebagai contoh, Abdullah ibn Umar RA adalah seorang kanak-kanak di zaman Rasulullah SAW. Tetapi direkodkan bahawa dia telah mengikuti majlis-majlis bersama dengan para sahabat besar sedangkan usianya ketika itu masih kecil.
Hal ini direkodkan apabila Abdullah ibn Umar RA sendiri meriwayatkan bahawa: “Pada suatu hari, aku mengikuti sebuah majlis Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW bertanyakan akan sebuah pokok yang mempunyai persamaan dengan orang yang beriman. Aku tahu akan jawapannya, tetapi aku jadi malu untuk menjawab kerana menghormati orang-orang yang lebih tua yang berada di dalam majlis itu. Akhirnya Rasulullah SAW sendiri menjawab soalan baginda tadi. Ketika dalam perjalanan pulang, aku menceritakan kepada bapaku(Umar Al-Khattab) bahawa aku mengetahui akan jawapannya semasa Rasulullah menyoal tadi. Bapaku berkata: Aku akan menjadi sangat gembira, sekiranya kau menjawab tadi” Riwayat Bukhari di dalam Kitab Adab Wa Ar-Riqaq.
Contoh yang lain, adalah Usamah bin Zaid RA. Direkodkan bahawa ketika dia berumur 18 tahun, dia telah diangkat untuk menjadi seorang jeneral yang menggepalai tentera menentang Romawi. Lebih mengkagumkan, pada usianya 19 tahun, dia berjaya menewaskan Romawi dengan kejayaan.
Contoh yang lain lagi, adalah Muhammad Al-Fateh. Direkodkan bahawa ketika dia berumur 23 tahun, dia berjaya menumbangkan Konstantinopel. Direkodkan juga, dia pernah diangkat menjadi Sultan ketika berumur belasan tahun, apabila ayahnya, Sultan Murad mengambil keputusan meninggalkan kerajaan bagi menjadi ahli sufi. Hal ini menyebabkan berlakunya kekacauan politik angkara orang-orang tua di dalam kerajaannya. Pada umur yang semua itu, dia berjaya memanggil ayahnya semula bagi memimpin kerajaan dengan kata-katanya yang bersulam kematangan yang amat masyhur di dalam sejarah:
“Wahai Ayahanda, sekiranya ayahanda masih merasakan bahawa ayahanda adalah Sultan bagi kerajaan ini, maka pulanglah. Sekiranya Ayahanda benar-benar telah menyerahkannya kepadaku untuk menguruskannya, maka dengan ini aku arahkan Ayahanda untuk pulang dan memimpin kerajaan ini!”
Dan di manakah kematangan kita hari ini jika hendak dibandingkan dengan mereka?
Di manakah hakikatnya perbezaan antara kita dan mereka?
Sepatutnya kita perhatikan dan memikirkannya.
Penutup: Melepaskan diri dari kebantutan kematangan
Matang adalah indikator terpenting dalam memandu kehidupan kita ke arah kehidupan yang terbaik. Tanpa wujudnya kematangan di dalam diri, maka kita hanya akan menghalakan kehidupan kita semata-mata ke arah keseronokan. Matang adalah pemandu sebenar yang terbaik dalam kita membuat keputusan.
Kematanganlah yang menghalang kita dari nmelakukan perkara yang sia-sia dan merosakkan. Kematanganlah yang menjadikan kita mampu memacu kehidupan diri ke arah terbaik dan memandu pula masyarakat sekeliling ke arah kebaikan.
Yang tidak matang hanyalah akan menjadi pelawak di dalam kehidupan insan, yang membawa dirinya ke arah kehancuran. Yang tidak matang hanya akan menjadi hamba dan bahan permainan. Kita akan tertipu, tertipu dan tertipu sepanjang hayat.
Maka sewajibnya kita menuntut kematangan ini agar wujud di dalam diri.
Bukan sekadar membiarkannya dan tidak kita perolehi.
Sedangkan perkara ini adalah teramat penting sekiranya kita adalah orang yang memerhati.

Tidak mampu atau sebenarnya tidak mahu.



Tak mampukah, atau sebenarnya tidak mahu? Dengan iman kita menjawabnya ~

Saya selalu melihat ramai yang menyatakan bahawa dia tidak mampu untuk taat kepada Allah SWT. Ada juga yang menyatakan bahawa, apa yang Allah berikan kepada dirinya adalah berat, dan dia tidak mampu membawanya dalam kehidupan. Berbagai-bagai alasan. Pokoknya, ayat tidak mampu adalah akar utama dalam jambangan alasan tersebut.
Kenapa orang suka cakap tak mampu?
Sebab Allah ada sebut: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…” Surah Al-Baqarah ayat 286. Jadi, dengan menyangka bahawa diri kita menyatakan alasan ‘tidak mampu’, maka taklif itu terangkat daripada kita. Begitukah? Sebab itu, perkataan tidak mampu agak popular.
Tetapi, saya suka ingin kita melihat ke dalam jiwa kita. Ke dalam jiwa kita yang terdalam.
Sebenarnya, kita ini betulkah tidak mampu?
Atau sebenarnya, kita ini tidak mahu?
Maka tidak mampu hanyalah alasan, dan bukan hakikat. Bagaimana?
Sesungguhnya, tidak mampu dengan tidak mahu itu, adalah dua perkara yang berbeza.
Tidak mampu = tidak mempunyai kudrat.
Takrif tidak mampu adalah, tidak mempunyai kudrat. Jadi apabila dinyatakan bahawa si fulan itu tidak mampu melakukan solat, ini bermakna pada si fulan itu telah tiada segala apa kudrat yang membolehkannya mendirikan solat. Dalam erti kata lain, dalam hal solat, si fulan itu telah mati. Sebab, solat ini, kalau tak boleh berdiri sekalipun, kita disuruh solat duduk. Kalau duduk pun tak boleh, kita disuruh solat baring. Kalau mulut sakit sampai tak boleh bercakap, bersuara, kita disuruh baca dalam hati. Kalau kena solat baring, tangan pun tak boleh gerak, maka kita disuruh solat dengan isyarat mata.
Maka, apabila dikatakan bahawa si fulan itu tidak mampu lagi melakukan solat, ini bermakna si fulan itu telah tiada segala apa kudrat padanya yang membolehkannya mendirikan solat. Dalam erti kata lain, Si Fulan itu telah mati.
Jadi, tidak mampu bukanlah pilihan. Kita tidak memilih untuk tidak mampu. Oh, ada pilihan sebenarnya. Kita boleh memilih sengaja untuk sakit. Infect diri dengan apa-apa virus ke, atau campak diri dalam gaung ke, atau sengaja bunuh diri. Ha, itu boleh menjemput ketidak mampuan. Tetapi dalam erti kata lain, orang yang sengaja mencampakkan dirinya ke dalam kerosakan ini, berdosa juga akhirnya.
Pendek kata, normalnya, warasnya, ketidak mampuan adalah benda yang kita tidak panggil.
Tidak mahu = Pilihan untuk menyatakan pembantahan.
Manakala, apabila dikatakan si fulan itu tidak mahu, kita faham bahawa si fulan itu memilih untuk membantah perkara yang diarahkan, disuakan. Sebagai contoh, Ibu Si Fulan menyuruhnya membuang sampah, tetapi Si Fulan tidak mahu. Maksudnya, Si Fulan membantah arahan membuang sampah daripada ibunya.
Bantahan boleh terjadi banyak sebab. Tetapi asas sebab-sebab tersebut secara mudahnya berakar pada satu perkara, yakni TIDAK SUKA.
Tetapi, membantah tidak bermakna tidak punya kudrat untuk melakukan perkara itu. Si Fulan tadi, membantah arahan ibunya membuang sampah, bukan kerana dia tidak punya kudrat sehingga membuatkannya tidak mampu untuk membuang sampah. Tetapi kerana dia tidak mahu membuang sampah. Bila ditanya mengapa dia tidak mahu membuang sampah, boleh timbul banyak sebab. Dia ada masalah dengan ibunya, dia tidak suka sampah sebab busuk, mungkin dia faham bahawa membuang sampah hanyalah perbuatan orang low class, atau mungkin ada dalam kepala dia kenyataan bahawa membuang sampah adalah amalan buruk. Yang akhirnya menyebabkan, dia membantah.
Itu adalah Tidak Mahu.
Saya ulang part paling penting: “Tidak mahu tidak bermakna kita tiada kudrat melakukan perkara itu.”
Apabila datang Amrullah(perintah Allah).
Maka, apabila kita seorang mukmin dituntut melakukan sesuatu, diseru menjalankan sesuatu, diarahkan meninggalkan sesuatu, diperintahkan menjauhi sesuatu, oleh Allah SWT dan RasulNya, maka hakikatnya, pada fitrahnya, secara normalnya, arahan itu adalah dalam kadar kemampuan insan, kekuatan insan.
Maka sepatutnya, sebenarnya apabila kita sengaja menimbulkan alasan ‘tidak mampu’, kita sepatutnya memerhatikan semula, apakah benar kita tidak mampu, atau kita sekadar ‘tidak mahu’ melaksanakannya.
Ya, 1001 alasan boleh kita berikan. Saya suka dalam bab bagi alasan ini. Maka yang saya selalu cakap pada diri saya adalah, “Berikanlah alasan itu kepada Allah. Rasa-rasa Allah terima tak?”
Contoh mudah, bangun Subuh di kala musim sejuk. Memang selimut lebih sedaplah. Alasan bangun lewat adalah kerana ‘tidak mampu’ bangun. Terlalu sejuk. Ok, alasan yang nampak best, dan hampir logik. Tetapi benarkah ‘tidak mampu’? Atau sebenarnya memang ‘tidak mahu’ bangun kerana malas?
Maka cuba berikan alasan ‘tidak mampu bangun sebab sejuk’ itu kepada Allah SWT. Agak-agak, Allah mahu terima? Akhirnya kita akan lihat bahawa, kita menyedari yang Allah itu tahu bahawa kita sebenarnya mampu bangun, tapi malas sahaja nak lawan sejuk. Alhamdulillah kita tanya diri kita sekarang, di dunia ini. Tetapi bayangkan kita telah ‘terlajak’ ke akhirat nanti. Allah sendiri yang menyoal: “Mengapa kau selalu bangun Subuh lambat?” Agak-agak, jawapan apa yang keluar dari pancaindera kita pada hari mulut kita dikunci dan tiada pembohongan itu?
Nah.
Antara ciri-ciri mukmin, menyahut seruan Allah, dan bersungguh.
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” Surah Al-Anfal ayat 24.
Ya. Mengapa disebut orang beriman di sini? Bukan diseru kepada sekalian manusia, atau sekalian muslimin(orang-orang Islam)? Ini menunjukkan hakikat bahawa, hanya yang beriman sahaja yang mampu menyahut seruan Allah dan Rasul apabila mereka menyeru kita melaksanakan sesuatu yang pastinya memberikan kebaikan kepada kita.
Di sini saya hendak menunjukkan satu contoh, yang saya sudah pernah bawakan sebenarnya, kisah As-Syahid Abdullah Azam, di kala ketuanya(atau dalam cerita lain, saya mendengar dia yang memberikan arahan kepda anak buahnya) memberikan arahan supaya mereka berlari keliling tempat latihan sepenuh tenaga mereka.
Maka semua berlari,termasuklah As-Syahid Abdullah Azam. Namun, semua apabila kepenatan dan keletihan, mereka berhenti. Mereka ‘rasa’ mereka sudah tidak lagi bertenaga. Tetapi lain dengan As-Syahid Abdullah Azam, dia terus lagi berlari, walaupun kondisinya sama sahaja dengan mereka tadi. Keletihan juga. Lari dan terus berlari. Hinggalah dia pengsan.
Semua bertanya selepas dia bangkit dari pengsannya, mengapa dia berlari sedemikian rupa? As-Syahid Abdullah Azam menjawab: “Bukankah arahan tadi adalah untuk berlari sepenuh tenaga?”
Semua terkesima.
Ya, sepenuh tenaga. Maksudnya, sampai tak ada tenaga dah. Maka, berlari sehingga pengsan sahajalah yang memenuhi kriteria tersebut. Sekiranya masih mampu bercakap, masih mampu berjalan keluar dari medan, itu maksudnya masih bertenaga.
Itulah dia As-Syahid Abdullah Azam, Mujahid Afghanistan, contoh kepada orang-orang yang beriman.
Bagaimana pula kita dengan arahan Allah SWT?
Penutup: Kadang-kadang, kita yang terlalu memanjakan diri kita
Orang kata, kalau nak dapat pingat emas dalam apa-apa acara sukan, maka kenalah training habis-habisan. Penat adalah perkara wajib. Letih adalah yang mesti dilalui. Susah adalah teman. Sakit-sakit sendi, sengal-sengal otot adalah sahabat karib. Yang goyang kaki, lenggok pinggang, memang macam badut di atas medanlah kan.
Itu pingat emas dalam acara sukan.
Agak-agak, nak capai Syurga Allah SWT yang tidak pernah mampu dibayangkan oleh akal manusia biasa ini, bagaimana?
Pastinya ada kepayahan. Ada kesukaran. Pastinya memerlukan tolakan dan paksaan. Tambahan, syurga dipagari oleh perkara-perkara yang dibenci oleh nafsu kita. Lebih keraslah kita perlu bermujahadah.
Namun, perjalanan yang sukar itu, berada dalam kemampuan kita sebenarnya. Tinggal, kita ini kadangkala terlalu memanjakan diri kita. “Tak apa kut.”, “Ah, biarlah.” Kita tidak mendidik diri kita untuk suka apa yang Allah suka, benci apa yang Allah benci, itulah yang akhirnya kita berikan alasan ‘tidak mampu’lah. Sedang hakikatnya di pangkal hati kita yang terdalam, kita sebenarnya ‘tidak mahu’ melakukannya.
Muhasabah diri semula.

DIA BUDAK AGAMA





Mereka juga manusia ~
Ada seorang hamba Allah perempuan ini. Dia adalah seorang bekas pelajar di sekolah agama. Dia seorang yang solehah, menjaga auratnya dan memakai tudung labuh. Dia juga rajin mengikuti usrah.
Ditakdirkan Allah, dia dihantar belajar ke luar negara. Negara yang dia pergi, bukan pula negara orang Islam. Jurusannya bukan jurusan agama, tetapi Perubatan. Maka, dia diangkat menjadi orang yang dipercayai oleh pelajar yang seangkatan dengannya.
Awal-awal, dia seorang yang komited dengan agama. Sering mengajak kawan-kawannya agar mengingati Allah, melaksanakan amanah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya.
Satu hari, dia jatuh cinta dengan seorang lelaki yang bukan Islam. Lama kelamaan, dia meninggalkan peribadinya yang lama. Walaupun masih bertudung labuh, dia tidak lagi menjaga batas pergaulan. Sampai satu tahap, dia pernah tidur di dalam kereta berdua-duaan dengan lelaki tadi.
Apakah pandangan anda?
Apa yang anda akan lakukan bila mengetahui perkara ini, bila melihat perkara ini, atau bila menjadi salah seorang daripada kawan-kawan kepada pelaku perkara ini?

Kisah rekaan saya, tetapi situasinya merata-rata
Saya reka cerita itu. Ini bermakna, saya tidak pernah melihatnya dengan mata kepala saya sendiri. Tetapi situasi yang sinonim seperti cerita saya di atas berlaku di banyak tempat. Tidak perlu tanya saya dari mana saya tahu, tetapi saya sekadar hendak anda menjawab, betul atau tidak.
Betul kan?
Budak sekolah agama, lelaki ke, perempuan ke, dulu baik, tiba-tiba terjebak dengan sesuatu di luar lunas agama Allah. Perempuan tudung labuh, dulu jaga hubungan lelaki perempuan, tiba-tiba bercouple. Rakan kita yang nampak alim, tiba-tiba terdengar khabar dia berzina.
Ya, apa yang kita lakukan pada mereka-mereka ini?
Biasanya, mereka dihina. Disisihkan.
“Cis, menyampah gila aku. Dulu baik bukan main. Sekarang, mengalahkan aku buruknya. Aku pun tak pernah berdating dengan perempuan tau”
“Aku tak sangka betul, dulu bukan main solehah. Ingatkan aku itu ini. Sekarang tup-tup keluar dengan mamat tu. Tak senonoh la. Hipokrit”
“Tengoklah budak sekolah agama tu. Kata je belajar agama. Dulu bukan main lagi ceramah bagi dalil-dalil Al-Quran ingatkan orang. Sekarang, entah syurga dengan neraka pun tak kenal ke hapa”
Dan 1001 macam lagi yang biasanya akan terlepas dari mulut kita. Atau paling tidak, terdetik di dalam hati.
Kenapa? Kenapa kita senang bersikap demikian?
Akhirnya, mereka yang dahulunya ala-ala ustaz ustazah harapan agama ini disisihkan kerana kemaksiatan dan keingkaran yang mereka lakukan di hadapan mata kita har ini. Mereka dikutuk, dihina, dikeji, dihentam-hentam. Dan 99%, semuanya dilakukan di belakang mereka.
Saya suka bertanya.
Siapa yang pernah pergi dan bersembang, berbincang, mendalami kenapa mereka berubah sedemikian rupa?
Tiada siapa menarik mereka
Kita selalu kata begini:
“Alah, pelajar agama, takkan tak tahu”
“Dia kan hafal 30 juzu’ Al-Quran. Takkan la tak reti-reti lagi”
Tetapi pada saya, ini satu prinsip yang membawa kepada sikap kita yang saya nyatakan di atas. Ya, secara tidak langsung, kita seakan-akan meletakkan taraf pelajar agama, orang yang mengikuti usrah, mereka yang bertudung labuh dan berkopiah ini di taraf MALAIKAT.
Sedangkan, mereka adalah MANUSIA.
Bila namanya manusia, pasti ada waktu kesilapannya. Dan kadangkala, silapnya boleh jadi lebih buruk dari kesilapan mereka yang tidak pernah pun sekolah agama. Tetapi inilah dia ujian Allah SWT.
Dengan prinsip kita di atas tadi, maka kita meninggalkannya. Kita tidak menegurnya. Kita nampak dia mula berubah ke arah kejahatan, kita menjauhinya kerana kita kata dia dah tahu, dia mesti dah faham serta sebagainya.
Kesilapan kita, adalah di sini.
Tiada siapa yang bergerak menarik mereka.
Sebagaimana kamu, mereka juga begitu, saya juga begitu
Bila kita melakukan kesilapan, kita senang untuk orang faham kenapa kita boleh tersilap. Kita tertipu ke, kita terjerat ke, kita memang betul-betul tak tahu kemudian terbiasa dengan kesilapan itu ke, dan 1001 sebab lagi.
Jadi, bila orang hentam-hentam kita tanpa memahami, kita pastinya sakit hati.
Begitulah perasaannya mereka yang buat silap. Saya kira, kita sama dalam hal ini. Baik kamu, mereka, mahupun saya.
Saya sendiri, amat benci manusia yang pakai hentam sahaja tanpa memahami. Kenal pun tidak, sudah menghentam macam dia tahu-tahu aja apa sebenarnya yang terjadi.
Jadi, apakah sikap kita?
Pernahkah kita mendekati ‘pendosa-pendosa yang beragama’ ini, atau kita sekadar menghina kesilapan, ketersasaran mereka dari jauh sahaja?
Mereka butuh manusia yang memahami
Kadangkala, ada something yang di luar jangkaan berlaku dalam hidup mereka ini. Sebab itu dari sebaik-baik manusia, boleh berubah sebegitu rupa. Kita yang biasa-biasa ni, melenting la. Kita terlupa bahawa dia rupanya manusia juga.
Tidak ramai yang mampu bersabar. Sedangkan, keadaan ini hanya boleh dihadapi oleh mereka yang tenang dan rasional.
Siapa yang pergi mendekati mereka, memahami mereka, cuba mencungkil apa sebenarnya permasalahan mereka, kenapa mereka sampai boleh tersasar sedemikian rupa. Siapa? Siapa yang berusaha sedemikian rupa?
“Aku tegur dah dia” Ya la, tegur macam mana? Tegur sekali pastu blah? Tegur 10 kali lepas tu penat?
Kadang-kadang, kita terlupa yang kita tak pernah pun bina ‘jambatan hati’ dengan mereka. Kita tak kenal mereka dalam erti kata sebenar. Kita dan dia tak pernah ada apa-apa perkongsian.
Bila terjadi perkara sebegini, kita lebih senang menghentam. Tegur sekali dua, lepas tu kata tak ada harapan. Ajak masuk usrah balik semula dua tiga kali, kemudian kata dia dah tak dapat hidayah.
Ini masalah kita.
Kemudian kita salahkan dia.
Sebenarnya, kita pun sama. Berputus asa mengajak dia ke jalan Allah.
Bila dia berdosa, tak kira la dia budak agama ke, ulama sekalipun, sepatutnya kita layani dia dengan baik. Tunjukkan dia jalan yang betul.
Sejak bila seseorang itu bila dia jadi pelajar sekolah agama, dia ikut usrah, dia pernah berdakwah ajak orang buat baik, dia keluaran Al-Azhar ke hapa ke, bila jadi maksum?
Sejak bila pula, manusia-manusia ni, bila buat dosa, dibolehkan kita membiarkan mereka?
Bukankah layanannya tetap sama dengan orang yang tidak pernah belajar agama, tidak pernah ikut usrah, tidak pernah berdakwah yang buat dosa?
Yakni tegur, dan pimpin mereka.
Pimpin ya. Pimpin. Fahami maksud perkataan pimpin.
Mereka lebih baik. Kami bukan pelajar agama
Satu lagi kesilapan kita, kita suka kata: “Mereka budak agama. Aku bukan budak agama. Mereka pakai tudung labuh. Aku tudung tiga segi aja”
Dan akhirnya, kita tinggalkan mereka.
Ini kesilapan yang paling besar. Siapa la ajar penegur itu kena sempurna. Kita ni, menegur sambil memperbaiki diri. Kita budak agama ke, bukan budak agama ke, kalau sesuatu kita rasa patut tegur, walaupun teguran kita tu ala-ala menghentam diri sendiri, kena tegurlah juga.
Apa barang bai main kutuk-kutuk belakang aja?
“Dia kan budak agama, dia mesti faham”
Kalau macam itu, budak agama mestilah malaikat semuanya. Tak akan ada buat salah.
Ala, macam kita belajar la. Faham-faham pun, bukan dapat 100% dalam periksa. Betulkan?
Ada ke yang skor semua mata pelajaran dia 100%?
Kalau ada pun, sekelompok kecil aja.
So, macam mana sekarang?
Kena tegur la. Bergerak mendekati mereka ini. Fahami masalah mereka ini. Mana tahu, hati mereka meronta-ronta untuk kamu membantu mereka sebenarnya.
Penutup: Kamu berdosa kalau sekadar membiarkan
Ya, kamu berdosa. Sebab mencegah kemungkaran itu adalah wajib.
“Saya mencegah dengan hati” Ha ha.. ini alasan kamu nak bagi kan?
Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya kamu tidak mampu”
Jadi, kalau ada kudrat, ada suara lagi, ada tenaga lagi, itu tandanya ‘mampu’ itu masih ada pada kamu. Maka, kamu berdosa kalau tidak menegurnya. Teknologi hari ini lagi la ada macam-macam. E-mail ada, facebook ada, Yahoo Messenger ada. Kalau nak pakai gaya zaman P.Ramlee pun boleh – tulis surat.
Kemudian, tegur bukan sekali.
Berkali-kali. Sampaila terjadi salah satu dari empat perkara. Apa dia?
1. Kamu mati.
2. Dia mati.
3. Matahari terbit dari barat.
4. Dia berubah.
Selagi tak berlaku empat perkara ini, adalah tidak patut kita berputus asa dalam memberikan teguran. Kalau tak makan dengan plan A, kita bagi dia plan B. Kalau plan B dia tak boleh jugak, kita bagi dia plan C. Sampai la plan Z. Kalau tak boleh jugak, kita bagi dia plan AZ pula. Kalau tak boleh lagi, bagi plan BZ dan begitulah seterusnya. Sampai salah satu dari empat perkara tadi terjadi pada kita.
“Tapi dia budak agama” Kamu ulang lagi benda ni.
Sudah-sudah. “Dia manusia juga” itu kata saya.
Ayuh, jangan cakap belakang sahaja.
Rapati dia, berikan nasihat. Laksanakan tanggungjawab kamu sebagai seseorang yang faham bahawa dia telah tersasar daripada Allah SWT.
Sesungguhnya, menebarkan kebaikan itu adalah tanggungjawab orang yang beriman.
Tidak kira, kamu budak sekolah agama, atau bukan.