Satu perkara yang saya belajar dalam
pengalaman 20 tahun kehidupan saya, adalah manusia itu boleh berubah.
Memang. Anda akan kata pada saya:
“Memanglah. Manusia memang boleh berubah”
Ya. Kita memang tahu. Ini memang
pengetahuan am. Tetapi siapakah yang merasai betapa besarnya satu-satu
‘perubahan’ itu?
Di dalam hidup ini, ada satu garisan yang
membahagikan kita kepada dua kumpulan.
Baik dan buruk.
Kita jangan sesekali lupa, bahawa
seseorang manusia itu boleh berubah dari buruk kepada baik.
Dan kita juga jangan sesekali lupa, bahawa
seseorang manusia itu boleh berubah sebaliknya.
Dari baik kepada buruk.
Manusia boleh berubah 1: Buruk kepada baik
Kita selalu lupa kenyataan ini. Lupa dalam
amal dan perbuatan, lupa dalam minda dan akal fikiran, lupa dalam hati dan
jiwa.
Mungkin satu waktu dahulu kita kenal Si A.
Dia ada banyak perkara negatif di dalam dirinya. Kita tidak suka Si A pada
suatu masa dahulu. Tetapi lama waktu berlalu, kita berjumpa semula dengan Si A.
Si A berbeza daripada dahulu. Dia sudah berubah. Walaupun mungkin bukan 100%,
tetapi dia menunjukkan perubahan.
Tetapi kita sukar menerimanya.
“eleh, berlakon je kut”
“Ah, dulu punya luka masih besar lagi!”
“Ini silap haribulan sekejap je ni”
Ayat-ayat begitulah yang keluar dari hati.
Akhirnya virus ini merebak ke dalam
kehidupan. Kita tidak menghayati perubahan Si A. Kita tidak merasai betapa
sukarnya dia hendak melakukan perubahan. Kita tidak tahu mungkin betapa
menyesalnya Si A dengan kehidupannya yang lalu. Kita tidak tahu mungkin betapa
dia bermati-matian untuk membawa dirinya ke arah apa yang dia sedang pijak hari
ini.
Lebih buruk lagi, oleh kerana tidak puas
hatinya kita kepada Si A, dan rasa macam tak puas hati dengan perubahan yang
telah kita lihat dengan mata kepala kita sendiri, lebih-lebih lagi apabila Si A
muncul menonjol luar dari apa yang kita mungkin boleh jangkai, kita mula
mencari mana lagi salah-salah Si A yang boleh dieksploitasi.
Di sinilah akhirnya yang sekecil kuman pun
dibesarkan sebesar gajah. Dosa-dosa lama diungkit seakan baru. Salah faham yang
mungkin berlaku dalam komunikasi, kehidupan Si A, dibesar-besarkan seakan ia
adalah satu perkara yang ‘betul faham’. Dan apa-apa sahaja cerita buruk yang
di’dengari’ dari orang lain akan Si A, dijaja seluruh dunia seakan benar.
Ini adalah penyakit.
Penyakit kerana kita tidak menyedari,
bahawa manusia itu boleh berubah.
Manusia boleh berubah 2: Baik kepada buruk
Kita juga kadangkala selalu melupakan
perkara ini. Kita lupa bahawa Allah itu mampu menurunkan seseorang yang baik,
menjadi seorang yang buruk. Mungkin dahulu solat, sekarang tidak. Mungkin
dahulu ada hubungan dengan Allah, sekarang tidak. Banyak lagi.
Kelupaan kita terhadap perkara inilah,
yang membuatkan kita senang memandang hina kepada mereka yang bergelumang di
dalam dosa dan keburukan. Kelupaan kita akan perkara inilah, yang membuatkan
kita mudah menyatakan orang lain masuk neraka, kafir dan sebagainya. Kita
boikot orang-orang berdosa dan mengumpat cerca mereka.
Ya, mungkin hari ini kita ada nikmat iman
dan nikmat Islam.
Tetapi kita punya kah?
Sepatutnya, kesyukuran kita ini mendapat
nikmat iman dan Islam, perlu ditunjukkan dengan menyebarkannya dengan lebih
jauh dan lebih ramai lagi. Bukannya menyedikitkannya dengan menyatakan
orang-orang lain masuk neraka atau kafir atau tak ada harapan atau dah
terjerumus.
Maka sepatutnya kita tidak merasakan
bahawa diri ini sudah berada di dalam comfort zone. Rasa keimanan kita sudah
cukup. Rasa Islam kita sudah bagus. Sepatutnya kita tidak melihat berapa banyak
kebaikan yang kita lakukan, tetapi lihatlah berapa banyak dosa yang masih belum
kita selesaikan. Sepatutnya kita tidak melihat berapa banyak dosa orang lain
lakukan, tetapi lihatlah kebaikan-kebaikan yang dia ada sebagai motivasi untuk
mengajaknya kepada kebenaran.
Kita sepatutnya melihat di sekeliling
kita.
Mungkin ramai sahaja, orang-orang yang
mendapat didikan agama, tetapi tidak mengaplikasikannya. Mungkin ramai sahaja,
orang yang dahulunya ikut usrah, tapi kini perangai entah apa-apa. Mungkin ada
pengalaman kita, orang yang dahulu bertudung, sekarang boleh dedah sampai ke
paras dada dan pakai ketat-ketat.
Sepatutnya, kita bersyukur dengan kebaikan
kita, dan berusaha untuk menambahnya dalam rangka menghargainya. Dan syukur
kita, kita lepaskan dalam bentuk mengajak lebih ramai lagi orang lain untuk
berada dalam lingkungan keredhaan Allah.
Bukannya kita tunjukkan dengan mencerca
mereka yang diuji pula!
Manusia boleh berubah 3: Turun dan naik
Satu lagi kenyataan yang perlu
diperhatikan. Bahawa manusia itu ada turun dan ada naiknya.
Mungkin kita ada sahabat, awal perkenalan
kita kenal bagus. Kemudian tiba-tiba di tengah perkenalan kita, sahabat kita
tiba-tiba melakukan sesuatu yang tidak enak di mata kita seperti bercouple dan
sebagainya.
Apakah biasanya tindakan kita?
Ada kalangan kita yang merupakan
ekstrimis, terus memboikot mereka ini, menyatakan bahawa mereka ini tiada
harapan, dan kita cerca mereka dengan berbagai cercaan.
Apabila sahabat kita ini melakukan
perubahan, kita tidak menerima mereka. Kononnya kepercayaan telah dikhianati
dan sebagainya. Kita tidak mengerti betapa susahnya dia diuji sedemikian.
Kadangkala, manusia yang terjerumus ini, bukan dengan kehendaknya. Dia
terperangkap. Mungkin terperangkap atas unsur orang lain, dan ada juga yang
terperangkap kerana sebelumnya dia ingat boleh.
Janganlah kata dia budak agama, takkan dia
tak tahu. Janganlah kata dia anak murid orang hebat, takkanlah dia tak tahu.
Habis, Ka’ab bin Malik itu sahabat Rasulullah, takkan dia tak tahu tak pergi
perang tu salah? Abu Dzar Al-Ghifari itu sahabat Rasulullah, takkan dia tak
tahu memanggil Bilal bin Rabah sebagai ‘anak hitam’ itu salah?
Di sinilah kita perlu memahami. Bahawa
manusia itu ada turun dan naiknya. Mereka ini diuji. Mungkin kita belum diuji.
Jadi peranan kita, adalah memberikan
sokongan dan dorongan agar mereka mampu melepasi ujian itu. Agar nanti, saat
waktu kita pula diuji, moga-moga Allah mempermudahkan urusan kita pula.
Penutup: Berdoalah supaya kita serta orang
lain berubah ke arah kebaikan, dan sentiasa muhasabah
Moga-moga, perubahan-perubahan yang Allah
berikan kepada kita dalam kehidupan ini hanyalah kehidupan ke arah kebaikan
semata-mata. Moga-moga, Allah mengubah kita dan mengubah manusia di sekeliling
kita ke arah kebaikan.
Kita juga kena berusaha agar doa itu
menjadi realiti.
Sentiasalah muhasabah dan buatlah banyak
checkpoint di dalam kehidupan kita.
Sentiasalah merendah diri, dan merasa
kasih sayang kepada orang lain.
Dengan memahami fitrah perubahan inilah,
kita akan menghasilkan rasa hendak mengambil berat akan diri dan orang lain.
Dengan memahami perkara inilah, kita akan lebih berhati-hati dan sentiasa
menjaga diri. Dengan memahami perkara inilah, kita akan bergantung lebih kepada
Allah SWT.
“(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai
Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk
kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu;
sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” Surah Ali-Imran ayat 8.
No comments:
Post a Comment